Laporan BRM

1 08 2009

disediakan oleh Aimie Aizad, Setiausaha 2 BRM

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Ilahi, akhirnya, setelah berbulan-bulan merancang, berbincang, dan mengembeling tenaga, kini program Baling Relief Mission 2009 telah pun berlangsung dengan jayanya. Sedikit informasi mengenainya, Program yang telah berlangsung selama lebih kurang lima hari ini, bermula pada 22 julai hingga 26 julai 2009 telah diadakan di Kampung Charuk Bemban, Baling Kedah yang bertujuan membantu masyarakat berpendapatan rendah yang menetap di kawasan tersebut. Ahli kontinjen yang terlibat terdiri daripada pelajar perubatan daripada Malaysia, UK dan Ireland di bawah payung Islamic Medical Association of Malaysia Ireland Student Chapter (IMAM). Bagi mereka yang ingin mengetahui apa yang berlaku sepanjang program, berikut dirakamkan sedikit-sebanyak intipati program yang berlangsung.

Photobucket

Rabu, 22 Julai 2009

Photobucket

Menjelang waktu zohor, Kampung Charuk Bemban mula menerima kedatangan para peserta program, ada yang dari dekat dan ada yang sejauh Johor datangnya, baik dengan Kancil, mahupun Honda, juga Mercedes, malah LORI juga turut menjadi ‘transport’ pilihan, begitulah semangat anak-anak muda kita turun ke kampung untuk berbakti kepada masyarakat. Majlis Pembukaan dan Penyerahan Anak Angkat telah berlangsung kemudiannya dan beberapa keluarga telah diamanahkan 2 orang peserta sebagai anak angkat masing-masing. Hari berakhir dengan mesyuarat ringkas oleh para peserta pada sebelah malamya.

Khamis, 23 Julai

Photobucket

Di sebalik Redup mentari pagi di Baling, sayup-sayup kedengaran getaran enjin bas sekolah yang membawa kami ke SMK Jerai bagi menghadiri program motivasi bersama pelajar tingkatan empat dan lima sekolah tersebut. Program yang berlangsung di surau sekolah tersebut telah dimulakan dengan ceramah motivasi oleh saudara Ikhwan Marion. Saudara Ikhwan telah berkongsi pengalaman beliau belajar sejak di bangku sekolah hinggalah ke luar negara dan syukur Alhamdulillah banyak ilmu dan pengetahuan telah berjaya dikongsi dengan para pelajar. Sesi LDK menyusul kemudiannya di mana para fasilitator dapat mengenali para pelajar dengan lebih dekat lagi. Pelbagai soalan dan luahan perasaan telah diutarakan kepada fasilitator masing-masing dan alhamdulillah, pelajar-pelajar tersebut tampak lebih bersemangat dan lebih bersedia menempuhi perjuangan mereka menuntut ilmu insyaAllah. Sekalung tahniah buat unit motivasi.
Photobucket
Bagi menghilangkan sedikit kepenatan, tepat jam lima petang kami telah dibawa kekawasan air terjun Lata Bayu dan kemudiannya ke kolam air panas Legong untuk berehat seketika. Para peserta telah mengambil peluang ini untuk menenangkan fikiran di samping bergembira menikmati keindahan alam dan kesejukkan air di cerun bukit.
Photobucket

Jumaat 24 Julai 2009

Photobucket
Program bantuan kesihatan telah berlangsung pada hari ini bertempat di dewan orang ramai kampung tersebut. Seramai 6 orang doktor turut serta pada hari tersebut termasuklah seorang doktor pakar. Antara pemeriksaan yang diadakan termasuklah pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dalam darah, konsultasi kesihatan bersama doktor dan juga preskripsi ubat bagi pesakit-pesakit yang berdiagnosis. Kami juga turut menyediakan pemeriksaan kesihatan bergerak (mobile clinic) ke rumah-rumah warga emas yang tidak mampu hadir ke dewan tersebut akibat keuzuran dan sebagainya. Kami para pelajar perubatan khususnya berasa amat bersyukur kerana berpeluang mengikuti program sebegini kerana banyak ilmu pengetahuan, pengalaman dan skill telah diperoleh daripada aktiviti hari tersebut. Dengan kata lain, ingin memeriksa tekanan darah dan gula anda, hubungilah kami, sudah pakar semuanya hehehe…
Photobucket
Photobucket
Atas sambutan yang memberangsangkan, program ini telah dilanjutkan lagi selepas solat jumaat hingga ke lewat petang. Alhamdulillah.

Sabtu 25 Julai 2009

Pagi sabtu kami di Baling telah diisi dengan aktiviti gotong-royong di rumah keluarga angkat masing-masing dan juga kawasan sekitar kampung Charuk Bemban. Fokus gotong-royong ini adalah kepada pembuangan sampah, pencegahan pembiakan nyamuk dan mengindahkan kawasan kampung.

Pada sebelah petangnya pula sebuah sesi motivasi untuk anak-anak kampung telah diadakan di surau. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah ceramah motivasi daripada saudara Muhammad Naim, tayangan video gambar-gambar luar negara dan juga sesi mengenang dan menghargai jasa ibu. Saudara Naim telah berjaya membawa para pelajar untuk lebih menghayati pengorbanan seorang ibu dan tanggungjawab kita sebagai anak. Sebak juga dibuatnya budak-budak itu, malah fasilitator pun ada yang turut menitiskan air mata. Syabas Naim syabas.
Photobucket

Suasana sebak diceriakan dengan aktiviti cabutan bertuah dan penyampaian hadiah pertandingan mewarna kepada kanak-kanak yang hadir. Banyak hadiah yang pelbagai telah disediakan, maka sememangnya tidak hairanlah melihat kegembiraan terpancar di wajah kanak-kanak tersebut. Air mata yang berlinangan di pipi kering bak embun di padang gersang apabila terlihatkan hadiah-hadiah yang disediakan oleh abang-abang dan kakak-kakak yang hadir. Begitulah gelagat kanak-kanak di kampung itu, geli juga hati kami melihatnya. Selepas waktu asar, program sukaneka telah diadakan dan pelbagai permainan menarik telah dilangsungkan. Alhamdulillah, bukan sahaja kanak-kanak tersebut sahaja bergembira, malah fasilitator pun turut gembira melihat telatah mereka.
Photobucket
Photobucket
Pada sebelah malamya, tayangan video Hati Malaya telah diadakan di dewan orang ramai yang dihadiri oleh penduduk kampung tersebut bersama-sama dengan kami. Tayangan tersebut bertujuan memupuk semangat sayangkan negara dan bersatu padu di kalangan rakyat Malaysia disamping dapat berhibur bersama warga kampung.

Ahad 26 Julai 2009

Setelah berhari-hari berprogram, kini sampailah hari terakhir kami di kampung tersebut. Sebuah majlis kenduri telah diadakan pada sebelah pagi dan kami juga turut serta bersama-sama dengan warga kampung membantu proses persiapan kenduri dan masak-memasak. Kenduri bermula lebih kurang jam 11 pagi disusuli sesi penyerahan bahan bantuan untuk penduduk kampung tersebut. Kami juga turut mengambil peluang tersebut untuk bergambar dengan keluarga angkat masing-masing serta beramah mesra sebelum berangkat pulang.
Photobucket
Akhir kata, pengalaman yang kami dapat sepanjang program amatlah berharga dan bermanfaat dan kami bersyukur yang tidak terhingga kerana berpeluang mengikuti program sebegini. Tidak lupa juga, kepada rakan-rakan peserta, semoga persahabatan yang dijalinkan akan berkekalan selama-lamanya serta mendapat barakah daripada Allah, insyaAllah Begitulah sedikit-sebanyak yang dapat dikongsikan, semoga program-progam sebegini dapat diperbanyakkan di masa hadapan. Tahniah kepada IMAM dan para peserta. Bagaimana? Berminat? Jika ada rezeki di masa hadapan, jom la ramai-ramai pakat turun ke Baling .

wassalam

Let’s IMAMing!





Baling, Kedah!

27 06 2009

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Baling


Daerah
Kedah Darul Aman
Baling
Pejabat daerah Baling
Pegawai daerah Noh Dahya (Pemangku)
Kawasan
– Jumlah 1,530 km km²
Populasi
– Anggaran 2004 142,513
– Kepadatan 93.14/km²

Baling merupakan salah satu daripada jajahan dalam negeri Kedah Darul AmanMalaysia. Kawasan Parlimen Baling di negeri Kedah Darul Aman, negara Malaysia. Negeri Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia.

Baling terkenal dengan air terjunnya, seperti Lata Bayu dan Bukit Hijau; serta buah-buahan tempatannya, seperti durian dan langsat.

Selain itu, Baling juga terkenal dengan perkampungan asli yang terletak di Mukim Siong, di mana terletaknya kolam air panas yang dipanggil Kolam Air Panas Legong. Ada 3 kolam air panas yang berbeza suhu.

Di pinggir pekan Baling terdapat gunung batu yang dikenali dengan nama Gunung Baling. Di sebelah belakang gunung itu terdapat beberapa buah kampung. Antara kampung-kampung itu adalah Kampung Padang Cik Mas, Kampung Sekolah, Kampung Seberang, Kampung Charok Bakong dan Kampung Becah Tok Bulan.

Read the rest of this entry »





Posters!

26 06 2009





Our Mission!

26 06 2009

Untuk Penduduk Kampung.

  • Menyediakan khidmat kesihatan percuma kepada penduduk kampung di kawasan yang terlibat dan yang lebih utama menimbulkan kesedaran dan pendidikan tentang peri pentingnya menjaga kesihatan di kalangan penduduk kampung.
  • Menyuntik motivasi terhadap para pelajar sekolah menengah dari SMK Jerai, Kupang, Baling, Kedah yang terdiri daripada kalangan tingkatan empat dan lima supaya mereka terus berusaha untuk menjadi pelapis umat yang cemerlang.
  • Membina jalinan dan hubungan yang erat antara peserta dan penduduk kampung.

Untuk IMAM

  • Melatih kredibiliti ahli-ahli baru untuk menganjurkan program-program sukarela dan menjadikan IMAM Ireland sebagai platform terbaik menjalankan ‘relief mission’
  • Memberi pengalaman berbakti kepada masyarakat kepada para pelajar yang tidak pernah menyertai aktiviti sukarela seperti ‘relief mission’ sebelum ini.
  • Merekodkan statistik kesihatan bagi kampung tersebut untuk memudahkan pelan jangka panjang peningkatan kesihatan.
  • Alternatif kepada Relief Mission luar negara seperti ‘Cambodia Relief Mission’ dan ‘Acheh Relief Mission’ bagi individu yang tidak berpeluang untuk turut serta.
  • Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli IMAM yang terlibat dalam program ini.

Untuk Peserta (dari kalangan pelajar perubatan)

  • Melatih kemahiran klinikal yang dipelajari di universiti.
  • Membantu para pelajar perubatan untuk menyempurnakan subjek elektif mereka.
  • Memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri kemanisan kebajikan sekaligus menerapkan minat mereka terhadap aktiviti kesukarelaan seperti ini.




    An Introduction

    26 06 2009

    Sekilas lalu

    Program IMAM yang diberi nama ‘Baling Relief Mission’ ini telah memilih Kampung Legong dan Kampung Charuk Bemban yang terletak di Baling, Kedah. Kawasan ini dipilih kerana kawasan ini merupakan antara kawasan paling miskin di Malaysia, justeru kebanyakan penduduknya kurang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat kesihatan.

    Selain itu, terdapat juga beberapa faktor lain seperti kekurangan doktor, kurangnya kesedaran tentang kepentingan kesihatan di kalangan penduduk, masalah kesihatan seperti malnutrisi dan sakit tua serta masalah sosial seperti penagihan dadah dan kes curi kabel yang berleluasa.

    Di samping itu, suatu program motivasi di SMK Jerai, Kupang, Baling, Kedah telah dirangka khusus untuk pelajar tingkatan empat dan lima yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

    Justeru, ‘Baling Relief Mission’ ini diharapkan dapat menjadi suatu platform untuk menyediakan bantuan dan khidmat sama ada dari sudut perubatan, kesedaran tentang kepentingan kesihatan serta bantuan bekalan asas kepada penduduk di kawasan yang terlibat. Selain itu, misi perubatan ini juga diharapkan dapat memberi peluang kepada para pelajar perubatan untuk merasai pengalaman menyertai ‘relief mission’ sebegini sekaligus memberi pendedahan kepada mereka terhadap kerjaya kedoktoran.

    Di samping itu, ‘relief mission’ ini juga diharapkan dapat membantu para pelajar untuk menyempurnakan subjek elektif mereka dan mendedahkan mereka terhadap kerjaya kedoktoran di luar hospital.